Hit Counter

Free Counter
Showing posts with label Hukum Hakam Agama. Show all posts
Showing posts with label Hukum Hakam Agama. Show all posts

Monday, May 16, 2011

SUNNAH-SUNNAH HARI JUMAAT YANG DILUPAKAN

SUNNAH-SUNNAH HARI JUMAAT YANG DILUPAKAN.

بسم الله Perkongsian Bersama Untuk Anda & Diri Saya: SUNNAH-SUNNAH HARI JUMAAT YANG DILUPAKAN. “Katakanlah (Wahai Muhmmad): Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku [Rasulullah (صلى الله عليه وسلم)], niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali 'Imraan, 3:31) Hari Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah bukti kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Inilah hari yang terkumpul di dalamnya sekian banyak fadhilat dan kelebihan seperti yang dinukilkan dalam dalil al-Quran dan al-Sunnah. Adalah wajar kaum muslimin merebut peluang keemasan ini untuk meningkatkan kualiti amalan mereka menurut petunjuk Rasulullah (صلى الله عليه وسلم). Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) sebagai penerima wahyu telah mengajarkan kepada kita beberapa amalan sunnah yang wajar dilakukan pada hari Jumaat. Namun mungkin akibat keterlekaan dan kealpaan kita membuat kita terlupa untuk melazimi sunnah-sunnah tersebut. Oleh itu, di sini kita cuba menyenaraikan kembali sunnah-sunnah yang semakin luput dan dilupakan beserta dalil sebagai panduan bersama. 1.Mandi, membersihkan diri, bersugi, dan memakai wangian, dan mengenakan pakaian yang terbaik Ini berdasarkan hadith yang disampaikan oleh Salman al-Farisi radhiallahu’anh daripada Rasulullah (صلى الله عليه وسلم), baginda bersabda: “Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang ”. [Riwayat al-Bukhari] 2.Bersegera ke masjid dan tinggalkan urusan lain. Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Jumu’ah ayat 9,“Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" 3.Membaca Surah al-Kahfi BUKAN Surah Yaasin pada malam atau siang hari Jumaat. Membaca Surah Yaasin adalah sesuatu yang mulia dilakukan oleh setiap muslim, sepertimana mambaca surah-surah al-Quran yang lainnya. Namun, untuk mengkhususkannya pada waktu tertentu seperti pada malam Jumaat adalah suatu yang tidak dijumpai dalam mana-mana dalil sahih malah bercanggahan dengan petunjuk Rasulullah (صلى الله عليه وسلم). Sedangkan setiap ibadah adalah terhenti (tidak dilakukan) sehinggalah dijumpai dalil atau nas yang menunjukkan pensyariatannya.Oleh itu, saya dengan segala rendah diri mengajak kalian semua untuk meninggalkan amalan yang bercanggahan dengan sunnah Baginda ini. Adapun pada malam Jumaat, Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) telah mengajarkan kita untuk membaca keseluruhan surah al-Kahfi sebagaimana sabdanya:“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat”. [Riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi, dan al-Hakim] 4.Menuju ke masjid dengan memperbanyakkan berjalan kaki. “Sesiapa yang mandi dan membersihkan diri pada hari Jumaat dan bersegera (keluar menuju ke masjid) dengan mencari posisi paling hampir dengan imam dalam keadaan diam, maka setiap jejak langkahnya itu pahala seumpama puasa setahun pada siangnya dan mendirikan ibadah pada sebelah malamnya. Hal demikian itu bagi Allah adalah sangat mudah”. [Riwayat Imam Ahmad, al-Thabarani, dan Ashab al-Sunan. Disahihkan oleh Ibn Khuzaimah] 5.Mendirikan solat sunat MUTLAK. Solat sunat Mutlak bukanlah satu yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia, lantaran mereka sudah terbiasa dengan solat sunat Qabliyah Jumaat. Hal ini agak menghairankan kerana Imam Syafi’I rahimahullah sendiri telah membincangkan pensyariatan solat sunat Mutlak dalam karyanya yang agung, kitab al-Umm.Berkenaan solat sunat Mutlak ini, Syeikh Nasiruddin al-Albani rahimahullah berkata:“Dianjurkan bagi orang yang masuk masjid pada hari Jumaat (bila saja) untuk mengerjakan solat sunat Mutlak sebelum duduk tanpa terikat dengan bilangan (rakaat), juga tidak ditentukan waktunya, hingga imam keluar. Atau duduk ketika masuk masjid setelah Tahiyyatul Masjid atau sebelumnya”. [Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah] Berkenaan riwayat yang menunjukkan adanya solat sunat qabliyah Jumaat, -wallahua’lam- tiada satu pun daripada riwayat-riwayat tersebut yang dapat dijadikan hujah lantaran kelemahan dan kecacatan yang berbeza-berbeza. Berkata al-Hafiz al-‘Iraqi:“Tidak ada diriwayatkan dari Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bahawa baginda solat sebelum Jumaat (Qabliyah Jumaat – penulis), kerana beliau biasa keluar rumah menuju solat Jumaat, lalu datang muadzin azan di hadapan beliau, kemudian beliau terus berkhutbah” [ Nailul Authar 3/216]. Dinukil dari kitab Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah. Edisi terjemahan dalam bahasa Indonesia bertajuk "Jawaban Penting Pertanyaan Seputar Solat Jumaat" oleh Abu Umar Basyir al-Maidani, al-Qowam, mukasurat 51] 6.Memendekkan khutbah dan memanjangkan solat. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ammar radhiallahu’anh,“Sesungguhnya lamanya berdiri solat seorang lelaki dan pendeknya khutbah yang dibacanya adalah petanda kemahiran ilmu fiqhnya (mendalam pengetahuan agamanya). Maka hendaklah kamu memanjang solat dan memendekkan bacaan khutbah!” [ Riwayat Muslim] 7.Tidak mengangkat tangan berdoa di antara dua khutbah dan ketika imam berkhutbah. Sedia maklum bahawa perbuatan menadah tangan adalah suatu yang disunnahkan tatkala berdoa. Namun, menadah tangan dalam khutbah Jumaat bukanlah suatu sunnah, malah ia bercanggahan pula dengan sunnah Rasulullah (صلى الله عليه وسلم). Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Abu Daud:“Daripada 'Umarah ibn Ru'aibah yang melihat Bishr ibn Marwaan ketika di atas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah : apabila melakukan do'a pada hari Jumaat), dan berkata, “Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya” dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya”. 8.Mendirikan solat sunat Ba’diyah Jumaat. Para ulama’ telah bersepakat bahawa solat sunat ba’diyah Jumaat adalah disyariatkan. Terdapat dua pilihan bagi mengerjakannya; iaitu samada dilakukan dua rakaat atau empat rakaat dan kedua-duanya adalah sunnah. Ini berdasarkan kepada hadith-hadith di bawah: a) Daripada Abu Hurairah rahiallahu’anh, bahawa Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda:“Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah bersolat empat rakaat sesudah (solat) jumaat”. [Riwayat Imam Muslim] b) Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’anhuma, dia berkata:“ Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat di rumahnya”. [Riwayat Imam al-Nasaei] 9.Merebut peluang dan ruang yang dikatakan waktu mustajab doa pada hari Jumaat. Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu’anh beliau berkata, Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda:“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6) “Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203. Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib”. Demikian antara sunnah-sunnah pada hari Jumaat sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) kepada kita yang semakin dilupakan dan kurang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat.Oleh yang demikian wahai sekalian muslim yang budiman, mari perbetulkan diri kita sejauh mana kita dalam mengamalkan sunnah Baginda. Apakah kita layak menggelar diri kita pengikut sunnah jikalau sunnah Jumaat pun sering diabaikan. Ingatlah, betapa besarnya ganjaran buat mereka yang berpegang teguh kepada sunnah tatkala umat lalai kepadanya. Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda: "Kamu semua harus berpegang teguh kepada sunnahku (setelah Al Qur'an) dan sunnah khulafa' rasyidin yang mendapat petunjuk Allah sesudahku. Berpeganglah dengan sunnah itu dan peganglah ia kuat-kuat, serta jauhilah bida'ah (perkara baru yang diada-adakan didalam agama), karena setiap bida'ah (perkara baru yang diada-adakan didalam agama) itu adalah sesat."[HR. Abu Dawud dan Tirmidzi]. Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda:“Sesungguhnya perkataan yang benar itu ialah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan (didalam agama) dan setiap yang diada-adakan (didalam agama) itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”[HR Muslim] Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda: “Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan yang bukan perintah kami, maka ia tertolak.” [HR. Bukhari] “Dan barangsiapa yang menyalahi Rasul itu sesudah jelas dan nyata baginya petunjuk dan mengikut orang-orang yang bukan jalan orang-orang yang beriman, nescaya Kami akan palingkan dia ke mana dia berpaling dan akan kami panggang dia di neraka Jahanam, padahal neraka itu sejelek-jelek tempat kembali.” [An-Nisa’:115] “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu sekalian mendahului Allah dan Rasul-Nya dan takutlah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Mendengar lagi Mengetahui.” [Al-Hujurat:1] Semoga memberi manfaat kepada kita. Wallahu'alam. **SEBARKAN

Saturday, September 25, 2010

Isu Gabung Puasa Sunat & Qadha

Isu Gabung Puasa Sunat & Qadha

Oleh:

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini :

Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.


Sekian
_________

*Tambahan

* (Mazhab Syafie)

Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha.

Imam as-Syafie di dalam kitab muktabarnya al-Umm ketika mensyarahkan bab 'Innamal a'malu binniat (setiap amalan dengan niat) menyebut hendaklah dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).

* Imam Jalaluddin as Syuyuti di dalam kitab al Isybah juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.

* MANAKALA jawapan [Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 10/383] dalam masalah ini seperti berikut:

"Alhamdulillah. Tidak ada salahnya berpuasa Isnin-Khamis untuk mengqadha' puasa Ramadhan yang tertinggal, dengan syarat puasa dilakukan dengan niat mengqadha puasa...... Mudah-mudahan (moga2) anda mendapat 2 ganjaran sekali, ganjaran melakukan Qadha' dan ganjaran melakukan puasa sunat, dan fadhilat yang Allah berikan itu luas. Walaupun jika anda hanya mendapat ganjaran mengqadha' puasa, ia adalah memadai, kerana mengqadha' puasa adalah lebih mustahak dari melakukan puasa sunat. Akan tetapi jika kamu berniat melakukan puasa sunat dan tidak berniat melakukan qadha', maka kamu masih belum lagi memenuhi tuntutan kefarduan. Maka masih lagi wajib melakukan qadha' puasa Ramadhan. Wa Allahu 'alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya.

* AKAN TETAPI,

jika terdapat masa yang sangat pendek (takut tertinggal peluang menunaikan puasa 6), berbanding dengan puasa qadha' yang banyak; seperti didalam kes wanita yang panjang haidhnya, dibenarkan melakukan puasa enam hari didalam bulan Syawwal, dan kemudian mengqadha'nya sebelum menjelang Ramadhan yang akan datang. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan ini merupakan pandangan yang lebih kepada kebenaran.

[Sharh al-Mumthi' 6/448].

* Berkenaan persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu BERTURUT-TURUT SELEPAS HARI RAYA ATAU TIDAK?

Jawapan Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi dalam persoalan ini seperti berikut:

“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).

Wallahualam.

Tuesday, December 29, 2009

Wajib ke tanam uri bayi tu?

Assalamuallaikum wr. wb.

Pak, Ustaz,

saya mahu bertanyakan tata cara menguburkan uri bayi secara syar’i. Mohon perinciannya Ustaz, ini kerana isteri saya sebentar lagi akan melahirkan anak kami yang pertama.

Waallaikumsalam wr. wb..

Alfari
Jawapan

Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Tidak ada aturan dalam syariah Islam tentang menguburkan uri bayi. Sedangkan kepercayaan bahawa uri mesti diuruskan dengan cara tertentu, kerana berpengaruh kepada bayi, hanyalah kepercayaan kosong yang tidak ada dasarnya dalam syariah.

Kala kepercayaan ini diteruskan, pelakunya boleh terjerumus ke dalam lembah syirik. Risikonya tentu sangat besar, kerana orang yang mati dalam keadaaan syirik, dosa-dsoa yang dibawa mati tidak akan diampuni.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.(QS. An-Nisa’: 48)

Kerana itu jangan sampai iman kita gugur hanya kerana kepercayaan salah tentang uri bayi. Cukup dibuang atau dikubur dengan niat agar kalau membusuk, tidak membahayakan manusia. Sama halnya dengan mengubur bangkai, perlu dikubur bukan kerana takut bangkai itu menjelma menjadi syaitan, tetapi agar tidak terjadi pencemaran.

Cara yang paling aman dan mudah adalah dengan menguburnya di dalam tanah. Demikian juga uri, boleh hukumnya untuk dikuburkan di dalam tanah. Tapi haram hukumnya kalau diikuti dengan beragam kepercayaan terhadap mitos-mitos tertentu tentang uri bayi itu.

Wallau a’lam bishshawab, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Wednesday, March 25, 2009

SUCIKAH AIR MUSTAKMAL DIGUNAKAN UNTUK BERWUDUK?

SUCIKAH AIR MUSTAKMAL DIGUNAKAN UNTUK BERWUDUK?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sebagaimana yang lazimnya kita pelajari daripada ustaz-uztaz atau buku-buku tentang Fardu ‘Ain, air mustakmal itu tidak boleh dibuat untuk bersuci. Sekiranya air mustakmal itu digunakan untuk berwuduk nescaya wuduk kita itu dianggap terbatal. Wuduk yang batal akan menjejaskan keabsahan solat seseorang. Oleh sebab itu permasalahan air mustakmal harus kita perhatikan dengan serius kerana solat adalah perkara yang pokok di dalam Islam. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya adalah jihad. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi, no: 2541.


DEFINISI AIR MUSTAKMAL

Air mustakmal adalah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Ia adalah air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas yang kecil (berwuduk) atau hadas besar (mandi wajib). Ini bermakna air yang telah dibasuhkan kepada anggota yang wajib sekiranya ditadah semula dan air itu tidak sampai dua kolah, maka air itu dikira sebagai air mustakmal iaitu tidak boleh di buat bersuci. Ia hanya boleh dibuat minum atau makan sahaja atau membasuh benda-benda yang bukan najis. Begitu juga sekiranya air basuhan wajib tertitik ke dalam air yang tidak sampai dua kolah, ia dikira mustakmal.


ADAKAH TUBUH SEORANG MUKMIN ITU NAJIS?

Kebiasaanya yang menyebabkan air itu tidak suci dan tidak boleh berwuduk dengannya adalah disebabkan ianya telah tercampur dengan unsur-unsur najis. Maka adakah tubuh seorang mukmin itu dianggap sebagai najis sehingga sekiranya terpercik air dari anggota tubuhnya ia boleh menjejaskan kesucian sumber air untuk berwuduk? Untuk menjawab persoalan ini mari kita lihat sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berjumpa dengannya di salah satu jalan kota Madinah, sedangkan waktu itu dia di dalam keadaan junub. Maka dia pun menyelinap pergi dari Rasulullah lalu mandi, kemudian datang kembali. Ditanyakanlah oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kemana dia tadi lalu dijawabnya bahawa dia datang sedang di dalam keadaan junub dan tidak hendak menemaninya di dalam keadaan tidak suci itu. Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Maha Suci Allah, orang mukmin itu tidak mungkin najis.” - Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no: 283

Imam al-Bukhari rahimahullah memasukkan hadis ini di dalam bab “Keringat Orang Junub dan Seorang Muslim Tidak Najis.” Jelas melalui hadis di atas, ia membuktikan tubuh seorang mukmin itu bukanlah najis walaupun di dalam keadaan berjunub. Oleh itu tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa sekiranya terpercik air dari tubuh seorang mukmin lalu jatuh ke dalam bekas air ianya akan menghilangkan kesucian air tersebut. Jelas apabila barang yang suci bertemu barang yang suci ianya tidak akan memberi pengaruh apa-apa.

Tambahan lagi menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

Ibnu Hibban (rahimahullah) telah menyebutkan hal ini di dalam satu bab yang tersendiri di dalam kitabnya, sebagai bantahan terhadap orang yang berpendapat bahawa orang yang junub dan berniat mandi wajib, lalu air percikan mandi wajibnya itu jatuh ke dalam bekas maka airnya menjadi najis. - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 469.


NABI TIDAK MENGHARAMKAN PENGGUNAAN AIR MUSTAKMAL UNTUK BERWUDUK

Terdapat beberapa riwayat yang sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bahawa air mustakmal itu adalah suci dan boleh digunakan untuk berwuduk.

Telah diriwayatkan dari Humran (hamba abdi ‘Uthman), bahawasanya dia melihat ‘Uthman bin Affan minta dibawakan sebuah bejana, lalu menuangkan air dari bejana itu ke telapak tangannya dan mencuci keduanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur seraya memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali…Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata: “Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…”- Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 164.

Dari hadis ini jelas kita melihat bahawa ‘Uthman al-Affan radhiallahu 'anh telah mencelup tangannya ke dalam sebuah bejana berisi air dan terus menggunakan air tersebut untuk membasuh anggota wuduk yang lain. Sekiranya air mustakmal itu tidak suci untuk berwuduk pasti dia akan menyuruh Humran untuk menggantikan air di dalam bejana tersebut kerana ianya tidak sah lagi untuk digunakan untuk berwuduk. Lantas ‘Uthman radhiallahu 'anh mensabitkan perbuatannya kepada ajaran Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz mengkhabarkan bahawa dia melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk. Katanya: “Baginda menyapukan kepalanya dengan air yang tersisa dari kedua belah tangannya.” - Hadis Riwayat Imam Abu Dawud no: 110.

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam membasuh kepalanya dengan lebihan air yang ada ditangannya tanpa mengambil sumber air yang baru. Jika air mustakmal itu tidak menyucikan tentu baginda shallallahu 'alaihi wasallam akan mengambil air yang baru untuk menyapu kepalanya.

Dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: Aku pernah mandi janabah bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dari satu bejana dan tangan kami bergiliran memasuki bejana itu. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 261.

Ukuran jumlah air dalam bejana ini diterangkan oleh ‘Aisyah radhiallahu 'anha melalui sebuah riwayat lagi.

Daripada ‘Aisyah dia berkata: Aku mandi bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari satu bejana dari sebuah bejana yang disebut al-Faraq. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 250.

Ulamak berbeza pendapat tentang ukuran al-Faraq. Ada yang menyatakan ianya 16 rithil atau 3 sha’ (lebih kurang 6.5kg atau 8.25 liter) air dan lain-lain. Apa pun jua ukuran tersebut ianya tetap kurang dari ukuran dua kolah. Apa yang jelas bagi kita Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mandi wajib bersama ‘Aisyah dan mereka berdua telah mencelupkan tangan mereka ke dalam bejana atau al-Faraq tersebut tanpa menggantikannya dengan air yang baru. Ini menunjukkan air mustakmal tetap suci untuk digunakan untuk bersuci.

Selanjutnya imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan sebuah athar secara mu’allaq:

“Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh memerintahkan keluarganya untuk berwuduk dengan sisa air yang dia pakai bersiwak (membersihkan gigi dengan kayu sugi)” - Athar Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Wudhu’, Bab “Mempergunakan Sisa Air Wudhu’ Orang Lain.”

Mengikut amalan kebiasaan di Malaysia ternyata sisa air yang dipakai untuk mencelupkan kayu siwak/sugi adalah termasuk dalam jenis air mustakmal yang tidak boleh lagi digunakan untuk berwuduk. Ternyata Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh seorang sahabat yang hidup sezaman dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah menyelisihi amalan yang lazim diamalkan di Malaysia ini.

Abu Juhaifah berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menemui kami waktu tengahari, lalu dibawakan air kepada beliau untuk berwuduk maka manusia mengambil sisa air wuduknya, kemudian menyapukan ke badan mereka..” - Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 187

Berkenaan dengan hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Di sini terdapat keterangan yang sangat jelas mengenai sucinya air mustakmal.” - Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 196

Apa yang dapat kita simpulkan dari riwayat-riwayat di atas adalah air mustakmal itu suci lagi menyucikan tanpa timbulnya keraguan. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

Hukumnya (air mustakmal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya air mutlak tanpa berbeza sedikitpun. Hal itu adalah disebabkan asalnya yang suci, sedangkan tidak dijumpai satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu. - Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid 1, ms. 36


BENARKAH IMAM AL-SYAFI’I MENOLAK PENGGUNAAN AIR MUSTAKMAL DALAM WUDUK

Setelah penulis merujuk kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang al-Thohaarah (bersuci) jilid 1, halaman 32 hingga 44, ketika beliau membicarakan hukum penggunaan air yang kurang dari dua kolah, ternyata perbincangan beliau lebih berkisar tantang apabila air yang kurang dari dua kolah tersebut bercampur dengan najis. Maka di dalam keadaan ini hukum air tersebut adalah tidak menyucikan dan tidak sah digunakan untuk berwuduk. Sedangkan bagi air yang umat Islam di Malaysia definasikan sebagai mustakmal maka beliau menganggap ianya suci lagi menyucikan. Telah tertulis di dalam kitab al-Umm:

Al-Rabi’ berkata: “Peluh orang Kristian, orang berjunub dan wanita yang sedang haid itu suci. Demikian juga peluh orang majusi dan peluh setiap binatang ternak itu suci. Air sisa minuman binatang ternak dan binatang buas seluruhnya itu suci kecuali anjing dan babi.

Al-Rabi’ berkata dan itu adalah kata al-Syafi’i bahawa: “Apabila seorang meletakkan air, lalu dia mengerjakan sunat dengan bersugi dan dia membenamkan sugi itu di dalam air, kemudian dia mengeluarkannya, nescaya dia dapat berwuduk dengan air itu. Kerana yang tedapat pada sugi itu adalah air liurnya. Dan kalau dia meludah atau berdahak atau berhingus dalam air, nescaya tidak menajiskan air itu. Binatang ternak itu sendiri minum di dalam air dan kadang-kadang bercampuran air liur dengan air maka tidaklah menajiskan air kecuali binatang itu anjing dan babi.

Begitu juga kalau berpeluh, lalu peluhnya jatuh dalam air, nescaya tidak menajiskan. Kerana keringat manusia dan binatang ternak itu tidak najis. Dan sama sahaja dari tempat manapun peluh itu, dari bawah bahu atau lainnya. - Al-Imam al-Syafi’i rahimahullah, Al-Umm (Kitab Induk), jilid 1, ms. 38.

Selarilah pandangan Imam al-Syafi’i rahimahullah dengan hadis-hadis yang sabit dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tentang keabsahannya menggunakan air mustakmal untuk berwuduk.

Berkenaan dengan hukum penggunaan air mustakmal ini Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa di sana ada air yang suci namun tidak menyucikan yang mereka sebutkan dengan air mustakmal…Namun tidak ada dalil manapun yang menunjukkan akan kebenaran pendapat ini bahkan dalil sebaliknya (sucinya air mustakmal) menunjukkan dengan sangat jelas. - Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms.52.

Pengarang Kitab Shahih Fikih Sunnah pula berkata:

Dalam hal ini (penggunaan air mustakmal) para ulamak berbeza pendapat, apakah ia tetap suci atau tidak? Pendapat yang paling kuat menyatakan bahawa ia masih tetap dianggap air yang dapat menyucikan selagi tidak keluar dari nama air mutlak dan tidak bercampur dengan suatu najis yang sampai mempengaruhi salah satu sifatnya (iaitu warna, bau dan rasa). Ini adalah pendapat Ali bin Abu Thalib, Ibnu ‘Umar, Ibnu Umamah, segolongan ulamak salaf, yang masyhur dari mazhab Malik, salah satu riwayat daripada Syafi’i dan Ahmad, pendapat Ibnu Hazm, Ibnu Mundzir dan pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam (Ibnu Taymiyyah). - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 160.

Adalah harapan penulis dengan penjelasan yang serba ringkas ini akan dapat menghilangkan keraguan tentang kesucian air mustakmal untuk digunakan ketika berwuduk. Maka air yang di dalam baldi, tong drum, kolah dan sebagainya yang biasa kita gunakan di rumah untuk menyimpan air adalah dibenarkan untuk dipergunakan untuk berwuduk walaupun telah terpercik dengan air dari badan kita. Air di dalam bekas tersebut adalah sama hukumnya dengan air mutlak selagi tidak bercampur dengan najis atau berubah bau, warna dan rasanya.